Monday 25 September 2017

PENGAMBILAN PEGAWAI KADET AMBILAN 18

   Minggu Haluan Siswa (MHS) yang telah menjadi tradisi Univeristi Malaya sejak sekian lama melabuhkan tirainya pada 08/09/2017. Tidak ketinggalan dalam meraikan kedatangan freshies’ kali ini, anggota PALAPES Laut Universiti Malaya bergabung tenaga dalam menarik pelajar baru menyertai unit ini. Beberapa pertunjukan dipersembahkan dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan. Booth yang menjadi antara tarikan utama mahasiswa dan mahasisiwi sepanjang berlangsungnya MHS di Dewan Tunku Canselor (DTC) ini dihiasi dengan uniform anggota tentera Laut Diraja Malaysia, banner info, replika kapal, dan banyak lagi. Penat lelah Pegawai Dalam Latihan (PDL) yang terlibat membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan hampir 300 permohonan pelajar baru yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada anggota PALAPES Laut Universiti Malaya. Info tentang kelebihan menjadi anggota PALAPES turut dikongsi bersama iaitu:

8 jam kredit percuma
jaminan kolej kediaman
Uniform Tentera Laut percuma
Makanan semasa sesi Latihan Percuma
Elaun Latihan
Peluang Menggunakan Senjata
Peluang Berlayar
Peluang Mempelajari Ilmu Ketenteraan
Ditauliahkan sebagai ‘Leftenan Muda’ setelah tamat latihan


   Strategi yang digunakan oleh kumpulan promosi kali ini ternyata berkesan dalam meyakinkan warga Universiti Malaya yang baru untuk menyertai PALAPES Laut. Ratusan risalah diedar kepada mahasiswa mahasiswi yang keluar masuk ke DTC. Pendekatan secara berkumpulan turut diaplikasikan agar tiada yang ketinggalan dalam kemeriahan mempromosikan PALAPES Laut UM. Pertama kali dilaksanakan pada tahun ini, sistem QR Code menjadi salah satu medium kepada mereka untuk mendaftar secara dalam talian dengan lebih mudah dan efisien. Promosi kali ini dianggap berjaya kerana jumlah permohonan mencapai jumlah sasaran.



   Antara yang terlibat dalam aktiviti promosi ini selain PDL ambilan 16 dan 17 ialah Pegawai Koordinasi (Pkor) PALAPES Laut Universiti Malaya, Lt Nazri. Lt Saufi yg merupakan mantan felo PALAPES Kolej Kediaman ke-5 bersama-sama PTJ PALAPES UM Lt Nasarizal , LK KOM Faizal dan BTM TNL Azeri juga terlibat. Turut hadir bersama, pegawai muda yang baru ditauliahkan, Lt M Rais Khairuddin Bin Abdul Raja, yang juga merupakan pegawai kadet terbaik Universiti Malaya tahun 2017, Lt M Nurul Atikah Binti Mat Zali, Lt M Muhammad Farid Aizat Bin Fauzi, dan Lt M Azizah Binti Abu Hassan dan Lt M Suhaila Binti Shamsul Bahrin.


Kami turut menyajikan sasaran kami dengan persembahan montaj dari divisi pegawai multimedia PALAPES Laut UM. Montaj tersebut mengandungi gambar gambar dan video sepanjang sesi latihan PDL yang ternyata menimbulkan minat mereka untuk turut serta dalam unit ini. Mahasiswa mahasiswi baru lebih kagum apabila melihat pedang yang dipamerkan di booth kami. Pedang tersebut diterima oleh Lt M Rais Kairuddin Bin Abdul Raja selaku pegawai kadet terbaik.

Kemuncak minggu promosi PALAPES Laut UM ini telah berlangsung pada tanggal 06 September 2017. Pada hari tersebut, PDL bersama-sama pegawai muda UM memperagakan pelbagai jenis uniform Tentera Laut seperti One Dress, Alpha, Night-rig, Bravo, Charlie dan Mess-kit. Penerangan ringkas tetapi padat mengenai PALAPES Laut disampaikan oleh PKK Ahmad Zahid Bin Hamidi dengan baik sekali. Ratusan pamplet turut diedarkan dalam waktu yang sama. Pada malam kemuncak MHS kami mengadakan sesi kutipan borang kemasukan palapes laut untuk kali terakhir. Borang yang dikutip mencapai jumlah yang disasarkan.


Minggu operasi promosi tidak semudah apa yang digambarkan. Perjalanannya dipenuhi seribu satu cabaran bermula daripada perbincangan dan perancangan program interaksi kepada  kelancaran perlaksanaan perancangan. Namun begitu, tidak pantas bergelar anggota PALAPES  jika semangat juang kita  mudah sekali dipatahkan  dihadapan muka cabaran yang mendatang.


Ujian kecergasan fizikal untuk pemilihan bakal Pegawai Kadet Ambilan 18 telah dijalankan selama dua hari iaitu pada tarikh 09-10/09/2017 hari Sabtu dan Ahad. Pada hari Sabtu, semua bakal Pegawai Kadet mula berkumpul pada jam 0630H untuk melapor kekuatan kepada pegawai bertugas harian. Kemudian semua pegawai yang ditugaskan untuk setiap kolej bergerak ke kolej masing-masing bagi menguruskan perjalanan bakal Pegawai Kadet ke Markas Palapes UM dengan menaiki bas yang telah disediakan. Ujian bermula tepat jam 0830H. Antara ujian yang dijalankan adalah larian 2.4km, lompat statik, bangkit tubi dan lari pecut 4×10m. Ujian kecergasan tamat dalam anggaran jam 1100H dengan laporan tiada kecederaan berat yang berlaku ke atas bakal-bakal Pegawai Kadet. Kemudian, para PDL yang bertugas mula mengira markah calon yang hadir bagi proses pemilihan. Seramai 30 bakal Pegawai Kadet yang telah lulus bagi saringan yang pertama ini. 




Pada hari Ahad, perjalanan bermula seperti biasa. Semua pegawai bertugas kolej diminta menguruskan perjalanan bakal Pegawai Kadet ke markas. Kekuatan bakal Pegawai Kadet pada hari Ahad adalah jauh lebih ramai berbanding pada hari Sabtu. Namun, segala urusan pengangkutan dilaporkan berjalan lancar. Acara diteruskan dengan ujian kecergasan fizikal yang merangkumi slot senaman dan  aktiviti sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Setelah selesai urusan pengiraan markah dan pemilihan, bakal Pegawai Kadet yang terpilih untuk kedua-dua hari diminta berkumpul di dewan untuk tujuan dokumentasi yang dibimbing oleh semua PDL yang bertugas. Urusan dokumentasi selesai pada jam 1530H dan bakal Pegawai Kadet bergerak pulang ke kolej masing-masing. Para PDL mula mengemas segala kelengkapan yang digunakan sebelum bersurai.



Peringkat seterusnya, bakal Pegawai Kadet Ambilan 18 menjalani ujian kesihatan (medical checkup) yang merupakan syarat wajib bagi terpilih menjadi anggota sukarela Angkatan Tentera Laut Malaysia. Ujian ini diadakan pada 22 September 2017 yang dihadiri seramai 84 calon Pegawai Kadet. Mereka hadir untuk melapor kekuatan ujian kesihatan pada jam 0800H kepada pegawai bertugas harian iaitu Leftenan Muda Nur Fatin Nabilah Binti Abd Rahim.


Sebelum ujian kesihatan dijalankan, sesi perkongsian ilmu NAVY telah diadakan oleh senior-senior dan jurulatih yang terlibat. Disamping itu, segala dokumen yang tidak lengkap untuk ujian kesihatan diisi oleh bakal Pegawai Kadet ambilan 18 dan dibantu oleh Pegawai Kadet ambilan 17 yang terlibat.


Seterusnya ujian kecergasan dijalankan pada jam 1100H sehingga jam 1300H dan berehat untuk Solat Jumaat. Ujian kemudian diteruskan selepas solat jumaat dan makan tengahari pada jam 1500H. Seramai 74 bakal Pegawai Kadet yang lulus untuk ujian kesihatan dan berjaya ke peringkat seterusnya iaitu temuduga bersama Pegawai Memerintah KD Sri Klang, Kapten Prof Madya Dr Jamalullai bin Abdullah PSSTLDM.



Tanggal 23 September 2017, bakal Pegawai Kadet Palapes Laut Universiti Malaya ambilan 18 telah menghadiri temuduga dan upacara angkat sumpah di markas palapes UITM shah alam. Setelah melalui pelbagai ujian saringan,seramai 74 org bakal pegawai kadet dipilih untuk  temuduga . Bagi mereka yang berjaya melepasi temuduga mereka akan teruskan dengan upacara  mengangkat sumpah sebelum meneruskan perjalanan sebagai Pegawai Kadet palapes laut Universiti  Malaya. Turut serta pada hari itu adalah lima orang PDL bersama tiga orang pegawai muda  bagi  melancarkn lagi acara pada hari tersebut. 


Bakal-bakal kadet telah berkumpul pada jam 0645 pagi di hentian bas kolej masing-masing dan tepat jam 0700 pagi semua yang terlibat telah bertolak dari Universiti Malaya ke Markas Palapes di UITM Shah Alam. Setibanya di sana, kesemua bakal Pegawai Kadet diberikan sarapan pagi sebelum bermulanya sesi  temuduga dan angkat sumpah. Bakal kadet daripada uitm dan upm juga turut hadir melaporkan diri pada hari tersebut. 



 Pada jam 0800 pagi, para tetamu VIP telah tiba di markas PALAPES Uitm Shah Alam. Para tetamu VIP tersebut terdiri daripada  Pegawai Memerintah KD Sri Klang, Kapten Prof Madya Dr Jamalullail bin Abdullah, Leftenan Muhammad Nazri bin Hamsan dan Leftenan Mohd Amir Gaddafi Abdul Aziz yang menjadi panel pada hari tersebut. Selanjutnya, sesi  temuduga bakal kadet  mula berlangsung dalam kiraan jam 8.45 pagi. Sesi temuduga didahului dengan  bakal kadet dari Universiti Teknologi Mara (UITM) , diikuti dengan bakal kadet Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seterusnya bakal kadet dari universiti berprestij,Universiti Malaya  (UM). Sementara menunggu giliran temuduga, bakal kadet diajar tentang protokol dan tatatertib temuduga oleh PDL. Antaranya termasuk cara-cara menjawab pertanyaan daripada penel dan cara masuk dan keluar daripada bilik temuduga. Seramai 15 orang bakal kadet  ditemuduga dalam satu sesi.


Pada jam 12.30 sesi temuduga ditangguhkan sebentar bagi memberi peluang kepada bakal Pegawai Kadet dan panel penemuduga untuk makan tengah hari dan menunaikan solat Zohor.Pada pukul 2.00 petang sesi temu duga diteruskan lagi. Setelah tamat sesi temuduga,pada jam 5.00 petang, keputusan temuduga dikeluarkan. Seramai 74 orang pegawai kadet telah lulus temu duga dan mengangkat sumpah di hadapan CO KD Sri Klang,  Kapten Prof Madya Dr Jamalullail bin Abdullah.  Beliau berpesan agar Pegawai Kadet yang telah lulus temuduga kekal taat dan setia dalam barisan palapes  dan bijak dalam membahagikan masa antara latihan PALAPES dan pelajaran. Apabila tamatnya sesi upacara angkat sumpah maka bermulalah kehidupan baru 74 individu sebagai pegawai kadet PALAPES Laut Universiti Malaya.

  

Selamat Maju Jaya !