Monday 25 September 2017

PENGAMBILAN PEGAWAI KADET AMBILAN 18

   Minggu Haluan Siswa (MHS) yang telah menjadi tradisi Univeristi Malaya sejak sekian lama melabuhkan tirainya pada 08/09/2017. Tidak ketinggalan dalam meraikan kedatangan freshies’ kali ini, anggota PALAPES Laut Universiti Malaya bergabung tenaga dalam menarik pelajar baru menyertai unit ini. Beberapa pertunjukan dipersembahkan dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan. Booth yang menjadi antara tarikan utama mahasiswa dan mahasisiwi sepanjang berlangsungnya MHS di Dewan Tunku Canselor (DTC) ini dihiasi dengan uniform anggota tentera Laut Diraja Malaysia, banner info, replika kapal, dan banyak lagi. Penat lelah Pegawai Dalam Latihan (PDL) yang terlibat membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan hampir 300 permohonan pelajar baru yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada anggota PALAPES Laut Universiti Malaya. Info tentang kelebihan menjadi anggota PALAPES turut dikongsi bersama iaitu:

8 jam kredit percuma
jaminan kolej kediaman
Uniform Tentera Laut percuma
Makanan semasa sesi Latihan Percuma
Elaun Latihan
Peluang Menggunakan Senjata
Peluang Berlayar
Peluang Mempelajari Ilmu Ketenteraan
Ditauliahkan sebagai ‘Leftenan Muda’ setelah tamat latihan


   Strategi yang digunakan oleh kumpulan promosi kali ini ternyata berkesan dalam meyakinkan warga Universiti Malaya yang baru untuk menyertai PALAPES Laut. Ratusan risalah diedar kepada mahasiswa mahasiswi yang keluar masuk ke DTC. Pendekatan secara berkumpulan turut diaplikasikan agar tiada yang ketinggalan dalam kemeriahan mempromosikan PALAPES Laut UM. Pertama kali dilaksanakan pada tahun ini, sistem QR Code menjadi salah satu medium kepada mereka untuk mendaftar secara dalam talian dengan lebih mudah dan efisien. Promosi kali ini dianggap berjaya kerana jumlah permohonan mencapai jumlah sasaran.



   Antara yang terlibat dalam aktiviti promosi ini selain PDL ambilan 16 dan 17 ialah Pegawai Koordinasi (Pkor) PALAPES Laut Universiti Malaya, Lt Nazri. Lt Saufi yg merupakan mantan felo PALAPES Kolej Kediaman ke-5 bersama-sama PTJ PALAPES UM Lt Nasarizal , LK KOM Faizal dan BTM TNL Azeri juga terlibat. Turut hadir bersama, pegawai muda yang baru ditauliahkan, Lt M Rais Khairuddin Bin Abdul Raja, yang juga merupakan pegawai kadet terbaik Universiti Malaya tahun 2017, Lt M Nurul Atikah Binti Mat Zali, Lt M Muhammad Farid Aizat Bin Fauzi, dan Lt M Azizah Binti Abu Hassan dan Lt M Suhaila Binti Shamsul Bahrin.


Kami turut menyajikan sasaran kami dengan persembahan montaj dari divisi pegawai multimedia PALAPES Laut UM. Montaj tersebut mengandungi gambar gambar dan video sepanjang sesi latihan PDL yang ternyata menimbulkan minat mereka untuk turut serta dalam unit ini. Mahasiswa mahasiswi baru lebih kagum apabila melihat pedang yang dipamerkan di booth kami. Pedang tersebut diterima oleh Lt M Rais Kairuddin Bin Abdul Raja selaku pegawai kadet terbaik.

Kemuncak minggu promosi PALAPES Laut UM ini telah berlangsung pada tanggal 06 September 2017. Pada hari tersebut, PDL bersama-sama pegawai muda UM memperagakan pelbagai jenis uniform Tentera Laut seperti One Dress, Alpha, Night-rig, Bravo, Charlie dan Mess-kit. Penerangan ringkas tetapi padat mengenai PALAPES Laut disampaikan oleh PKK Ahmad Zahid Bin Hamidi dengan baik sekali. Ratusan pamplet turut diedarkan dalam waktu yang sama. Pada malam kemuncak MHS kami mengadakan sesi kutipan borang kemasukan palapes laut untuk kali terakhir. Borang yang dikutip mencapai jumlah yang disasarkan.


Minggu operasi promosi tidak semudah apa yang digambarkan. Perjalanannya dipenuhi seribu satu cabaran bermula daripada perbincangan dan perancangan program interaksi kepada  kelancaran perlaksanaan perancangan. Namun begitu, tidak pantas bergelar anggota PALAPES  jika semangat juang kita  mudah sekali dipatahkan  dihadapan muka cabaran yang mendatang.


Ujian kecergasan fizikal untuk pemilihan bakal Pegawai Kadet Ambilan 18 telah dijalankan selama dua hari iaitu pada tarikh 09-10/09/2017 hari Sabtu dan Ahad. Pada hari Sabtu, semua bakal Pegawai Kadet mula berkumpul pada jam 0630H untuk melapor kekuatan kepada pegawai bertugas harian. Kemudian semua pegawai yang ditugaskan untuk setiap kolej bergerak ke kolej masing-masing bagi menguruskan perjalanan bakal Pegawai Kadet ke Markas Palapes UM dengan menaiki bas yang telah disediakan. Ujian bermula tepat jam 0830H. Antara ujian yang dijalankan adalah larian 2.4km, lompat statik, bangkit tubi dan lari pecut 4×10m. Ujian kecergasan tamat dalam anggaran jam 1100H dengan laporan tiada kecederaan berat yang berlaku ke atas bakal-bakal Pegawai Kadet. Kemudian, para PDL yang bertugas mula mengira markah calon yang hadir bagi proses pemilihan. Seramai 30 bakal Pegawai Kadet yang telah lulus bagi saringan yang pertama ini. 




Pada hari Ahad, perjalanan bermula seperti biasa. Semua pegawai bertugas kolej diminta menguruskan perjalanan bakal Pegawai Kadet ke markas. Kekuatan bakal Pegawai Kadet pada hari Ahad adalah jauh lebih ramai berbanding pada hari Sabtu. Namun, segala urusan pengangkutan dilaporkan berjalan lancar. Acara diteruskan dengan ujian kecergasan fizikal yang merangkumi slot senaman dan  aktiviti sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Setelah selesai urusan pengiraan markah dan pemilihan, bakal Pegawai Kadet yang terpilih untuk kedua-dua hari diminta berkumpul di dewan untuk tujuan dokumentasi yang dibimbing oleh semua PDL yang bertugas. Urusan dokumentasi selesai pada jam 1530H dan bakal Pegawai Kadet bergerak pulang ke kolej masing-masing. Para PDL mula mengemas segala kelengkapan yang digunakan sebelum bersurai.



Peringkat seterusnya, bakal Pegawai Kadet Ambilan 18 menjalani ujian kesihatan (medical checkup) yang merupakan syarat wajib bagi terpilih menjadi anggota sukarela Angkatan Tentera Laut Malaysia. Ujian ini diadakan pada 22 September 2017 yang dihadiri seramai 84 calon Pegawai Kadet. Mereka hadir untuk melapor kekuatan ujian kesihatan pada jam 0800H kepada pegawai bertugas harian iaitu Leftenan Muda Nur Fatin Nabilah Binti Abd Rahim.


Sebelum ujian kesihatan dijalankan, sesi perkongsian ilmu NAVY telah diadakan oleh senior-senior dan jurulatih yang terlibat. Disamping itu, segala dokumen yang tidak lengkap untuk ujian kesihatan diisi oleh bakal Pegawai Kadet ambilan 18 dan dibantu oleh Pegawai Kadet ambilan 17 yang terlibat.


Seterusnya ujian kecergasan dijalankan pada jam 1100H sehingga jam 1300H dan berehat untuk Solat Jumaat. Ujian kemudian diteruskan selepas solat jumaat dan makan tengahari pada jam 1500H. Seramai 74 bakal Pegawai Kadet yang lulus untuk ujian kesihatan dan berjaya ke peringkat seterusnya iaitu temuduga bersama Pegawai Memerintah KD Sri Klang, Kapten Prof Madya Dr Jamalullai bin Abdullah PSSTLDM.



Tanggal 23 September 2017, bakal Pegawai Kadet Palapes Laut Universiti Malaya ambilan 18 telah menghadiri temuduga dan upacara angkat sumpah di markas palapes UITM shah alam. Setelah melalui pelbagai ujian saringan,seramai 74 org bakal pegawai kadet dipilih untuk  temuduga . Bagi mereka yang berjaya melepasi temuduga mereka akan teruskan dengan upacara  mengangkat sumpah sebelum meneruskan perjalanan sebagai Pegawai Kadet palapes laut Universiti  Malaya. Turut serta pada hari itu adalah lima orang PDL bersama tiga orang pegawai muda  bagi  melancarkn lagi acara pada hari tersebut. 


Bakal-bakal kadet telah berkumpul pada jam 0645 pagi di hentian bas kolej masing-masing dan tepat jam 0700 pagi semua yang terlibat telah bertolak dari Universiti Malaya ke Markas Palapes di UITM Shah Alam. Setibanya di sana, kesemua bakal Pegawai Kadet diberikan sarapan pagi sebelum bermulanya sesi  temuduga dan angkat sumpah. Bakal kadet daripada uitm dan upm juga turut hadir melaporkan diri pada hari tersebut. 



 Pada jam 0800 pagi, para tetamu VIP telah tiba di markas PALAPES Uitm Shah Alam. Para tetamu VIP tersebut terdiri daripada  Pegawai Memerintah KD Sri Klang, Kapten Prof Madya Dr Jamalullail bin Abdullah, Leftenan Muhammad Nazri bin Hamsan dan Leftenan Mohd Amir Gaddafi Abdul Aziz yang menjadi panel pada hari tersebut. Selanjutnya, sesi  temuduga bakal kadet  mula berlangsung dalam kiraan jam 8.45 pagi. Sesi temuduga didahului dengan  bakal kadet dari Universiti Teknologi Mara (UITM) , diikuti dengan bakal kadet Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seterusnya bakal kadet dari universiti berprestij,Universiti Malaya  (UM). Sementara menunggu giliran temuduga, bakal kadet diajar tentang protokol dan tatatertib temuduga oleh PDL. Antaranya termasuk cara-cara menjawab pertanyaan daripada penel dan cara masuk dan keluar daripada bilik temuduga. Seramai 15 orang bakal kadet  ditemuduga dalam satu sesi.


Pada jam 12.30 sesi temuduga ditangguhkan sebentar bagi memberi peluang kepada bakal Pegawai Kadet dan panel penemuduga untuk makan tengah hari dan menunaikan solat Zohor.Pada pukul 2.00 petang sesi temu duga diteruskan lagi. Setelah tamat sesi temuduga,pada jam 5.00 petang, keputusan temuduga dikeluarkan. Seramai 74 orang pegawai kadet telah lulus temu duga dan mengangkat sumpah di hadapan CO KD Sri Klang,  Kapten Prof Madya Dr Jamalullail bin Abdullah.  Beliau berpesan agar Pegawai Kadet yang telah lulus temuduga kekal taat dan setia dalam barisan palapes  dan bijak dalam membahagikan masa antara latihan PALAPES dan pelajaran. Apabila tamatnya sesi upacara angkat sumpah maka bermulalah kehidupan baru 74 individu sebagai pegawai kadet PALAPES Laut Universiti Malaya.

  

Selamat Maju Jaya !


Monday 21 August 2017

ISTIADAT PENTAULIAHAN DIRAJA PALAPES UA KALI KE-36

            Subjek yang menjadi penyeri perbualan kali ini merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan adat menjadi seorang anggota simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Buat julung kalinya Istiadat pentauliahan pada tahun ini telah dianjurkan pada 12 ogos 2017 di UiTM Shah Alam. Dengan berkat Allah swt, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam (PALAPES UA) Ke-36.


            Seramai 1,832 pegawai kadet PALAPES daripada 18 universiti awam telah ditauliahkan ke dalam Kor Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Seramai 136 pegawai kadet dari PALAPES Darat dan Laut Universiti Malaya yang terlibat.



            Upacara berprestij ini menjadi titik noda buat pegawai kadet Ambilan 15 PALAPES Laut Universiti Malaya yang kini sudah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Muda. Seramai 21 orang pegawai kadet Ambilan 15 atau lebih dikenali dengan Mahawangsa telah ditauliahkan pada tahun ini yang terdiri daripada 12 orang pegawai lelaki dan 9 orang pegawai perempuan.



            Memegang jawatan selaku Commanding Officer, Leftenan Muda Rais Kairudin bin Abdul Raja telah dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik bagi pasukan PALAPES Laut Universiti Malaya. Di samping bijak dalam memimpin, beliau juga wajar dicontohi kerana mempunyai rekod akademik dan kokurikulum yang memuaskan. Beliau telah menerima sebilah pedang yang disampaikan oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.






            Turut hadir memeriahkan suasana ialah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Naib Canselor UiTM, Kol (K) Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Said.







            Dengan bertemakan Mahasiswa Perkasa Aset Keteguhan Negara, Istiadat pentauliahan dimulai dengan perbarisan pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES dan kemudian disambung dengan penyampaian pedang kepada 34 Pegawai Kadet Terbaik setiap PALAPES UA. Tak dilupakan juga up
acara penyampaian watikah tauliah yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC).

            Dalam titahnya, Duli yang maha mulia menyeru kepada semua Pegawai Kadet yang baharu ditauliahkan supaya menonjolkan diri dan sentiasa bersikap positif bagi mengekalkan kredibiliti sekaligus mengangkat martabat angkatan tentera pada kacamata masyarakat serta berani menegakkan kebenaran dan pada masa sama, sentiasa memperbaiki diri dan siap sedia menerima teguran.



            Sebaik sahaja berakhirnya istiadat perbarisan, Pegawai Kadet Terbaik dari setiap universiti diperkenalkan kepada Seri Paduka Baginda dalam Majlis Ramah Mesra di Dewan Agung Tuanku Canselor.

            Maka nukilannya, istiadat pentauliahan yang berlangsung tersebut bukan sahaja menjadi kayu ukur prestasi pegawai kadet sebagai anggota profesional malah terpacak sebagai gerbang kejayaan yang perlu dikecapi selagi berdiri dengan nama PALAPES malaysia.

            Sebelum istiadat berprestij ini dijalankan, latihan selama dua minggu telah dijalankan di padang kawad UiTM Shah Alam dan Dewan Agong Tunku Canselor. Perjalanan selama dua minggu yang diharungi oleh para pegawai kadet, diselebungi dengan cabaran dan kesusahan yang tak terhitung nilainya. Keperitan yang dialami sepanjang perjalanan 3 tahun diuji pada saat kaki dihentak berlaga dengan permukaan hitam yang berdesing kepanasan di bawah terik suria.



Sekitar latihan oleh pancaragam dari TLDM


            Namun pada saat penerimaan watikah, segala yang diragui gugur mencucuri tanah kerana hakikatnya tanpa usaha dan keteguhan maka jatuhlah martabat dan jati diri mereka sebagai bakal pegawai muda anggota PALAPES. Pada 12 ogos 2017, Malaysia menyaksikan pertabalan para para wira satria yang jiwa nusantaranya berdegup untuk pertiwi tercinta.




Lintas lalu Yang DiPertuan Agong

            Dengan berakhirnya upacara penyampaian watikah, maka Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam kali ke-36 sampai ke pengakhirannya. Majlis yang berakhir pada kira-kira tiga petang itu, telah diakhiri dengan penyampaian watikah kepada PALAPES Udara Universiti Malaysia Pahang (UMP).

            Untuk pengetahuan semua, bagi Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam kali ke-37, Universiti Sains Malaysia (USM) menyahut cabaran selaku tuan rumah pada tahun hadapan. Semoga setiap perancangan dipermudahkan kelak.


Ibu bapa yang hadir menyaksikan detik bahagia anak-anak mereka

BRAVO ZULU UM !

Wednesday 3 May 2017

KARNIVAL SUKAN PALAPES LAUT KALI KE-15

KITA JUARA!

Pada 22-23 April lalu, Karnival Sukan Palapes Laut (KSPL) kali yang ke-15 telah berlangsung dengan gemilangnya. Acara tahunan yang telah menjadi tradisi bagi unit-unit di bawah KD SRI KLANG itu telah mendapat sokongan semua unit iaitu PALAPES (Laut) UM, PALAPES Laut UPM, PALAPES Laut ALAM, KDSK dan PALAPES Laut UITM. Karnival ini menyaksikan giliran unit PALAPES Laut Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula sebagai tuan rumah. Kontinjen PALAPES Laut UM telah menghantar Pegawai Dalam Latihan yang terdiri daripada ambilan 15 (Mahawangsa), ambilan 16 (Gempita) dan ambilan 17 (Perkasa) untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam KSPL kali ini. Beberapa orang Leftenan Muda juga turut hadir sebagai atlet dan pegawai pengiring seterusnya memeriahkan lagi acara yang berlangsung. Seperti biasa, majlis dirasmikan oleh Pegawai Memerintah KD SRI KLANG, Kept Prof Madya Dr. Jamalullaili bin Abdullah PSSTLDM. Kontinjen UM diberi peluang untuk membuat persembahan tarian sebelum upacara perasmian diadakan.
 





Tidak banyak perbezaan dari tahun sebelumnya, acara yang dipertandingkan dalam KSPL kali ini ialah larian kampus, bola sepak, bola jaring, badminton, renang, futsal, bola tampar, dan menembak. Acara menembak memberi kelainan untuk KSPL kali ini kerana acara ini telah menggantikan acara hockey deck yang pernah diadakan pada tahun-tahun sebelum ini.






Acara pertama yang dipertandingkan sebaik sahaja selesai upacara perasmian ialah larian kampus. Kontinjen UM telah menghantar seramai 10 orang peserta, terdiri daripada PKK Rais Kairuddin, PKK Zahid, PKK Azri Hakim, PKK Saiful, PKK Hijrah, PKK Nanthini, PK Hazim Azizi, PK Hazwani Hasim, PK Hafida Zazi dan PK Tan Chew Yung bagi acara ini. Meskipun jarak larian sejauh 7km hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir sebelum pertandingan bermula, namun itu bukanlah penghalang kepada kontinjen PALAPES (Laut) UM apabila para peserta muncul sebagai Naib Johan bagi acara ini.





 Setelah beberapa minit peserta larian kampus dilepaskan, acara seterusnya dimulakan iaitu bola sepak dan bola jaring yang diadakan serentak bertempat di Padang Bola Sepak Turf dan Gelanggang Bola Jaring, Pusat Sukan UiTM. Semangat yang membara dengan bakat yang diasah semasa sesi latihan sebelum hari kejadian KSPL telah berjaya menobatkan pasukan bola sepak PALAPES (Laut) UM sebagai Johan pertandingan, mengetepikan pihak lawan pada pusingan akhir iaitu PALAPES Laut UiTM dengan mata 4-2. Pasukan bola jaring pula meraih tempat kedua, selepas tewas dengan pasukan dari PALAPES Laut UPM. Walaubagaimanapun, pasukan bola jaring telah menunjukkan peningkatan yang baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.









Kemeriahan KSPL diteruskan lagi dengan acara badminton yang mempertaruhkan kategori beregu lelaki, beregu perempuan dan beregu campuran. Perlawanan akhir bagi kategori beregu campuran menyaksikan kontinjen PALAPES (Laut) UM berjaya mengalahkan pasukan dari UPM dan muncul sebagai Johan bagi kategori ini. Tahniah diucapkan kepada PK Faiz Syahmi dan pasangannya, PK Aqilah atas usaha dan semangat juang yang ditunjukkan. Bagi beregu perempuan pula, kontinjen UM yang terdiri daripada PKK Suhaila Uttoh dan PKK Farahin berjaya meraih Tempat Ketiga manakala bagi beregu lelaki yag terdiri daripada PKK Munir dan PK Nurhakim meraih Tempat Keempat setelah tewas kepada pasukan dari UiTM. Keputusan penuh bagi acara ini, kontinjen UM berjaya membawa pulang pingat Gangsa di mana berjaya meraih Tempat Ketiga. Semoga dengan pencapaian pada tahun ini dapat meningkatkan lagi semangat juang para atlet untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai misi Emas pada KSPL kali ke-16 kelak.




Kehangatan KSPL diteruskan lagi dengan acara renang yang bermula pada jam 8.30 malam bertempat di Kolam Renang Pusat Akuatik, UiTM Shah Alam. Acara ini menyaksikan perlawanan bagi kategori 50m Kuak Dada, 50m Gaya Bebas, 4x50m Kuak Dada dan 4x50m Gaya Bebas. Keputusan penuh bagi acara renang yang dipertandingkan, kontinjen UM berjaya membawa pulang 4 pingat Perak menerusi acara relay kuak dada dan gaya bebas wanita, solo kuak dada wanita dan relay gaya bebas lelaki beserta 3 pingat Gangsa menerusi acara solo kuak dada lelaki, solo gaya bebas wanita dan relay kuak dada lelaki. Kontinjen UM berjaya membawa pulang 7 pingat daripada 8 acara yang dipertandingkan. Pencapaian pada tahun ini merupakan kejayaan yang membanggakan apabila kontinjen UM muncul selaku Naib Johan bagi keseluruhan untuk acara ini.







Hari kedua Karnival Sukan Palapes Laut dimulai dengan acara futsal lelaki dan perempuan yang diadakan serentak. Walaupun masih belum hilang dari kepenatan KSPL hari pertama, semangat juang yang tinggi tidak melunturkan semangat para pemain dan kontinjen UM. Bangkit dari kekalahan lepas, pasukan futsal lelaki membuat kemunculan semulanya dengan muncul sebagai juara mengetepikan pihak lawan dari UiTM dengan mata 1-0. Gol kemenangan untuk perlawanan yang sangat sengit ini adalah hasil sepakan PK Syazrin. Tidak kurang hebatnya dengan pasukan lelaki, pasukan futsal perempuan UM juga berjaya melayakkan diri mereka ke peringkat akhir dan muncul sebagai Naib Johan. Meskipun pada perlawanan pertama, penjaga gol utama bagi pasukan perempuan, PKK Ayu telah dirempuh oleh pihak lawan dan mengalami kecederaan teruk di kepala, namun ianya bukan penghalang bagi pasukan futsal perempuan untuk meneruskan perjuangan di separuh masa kedua. Tahniah bagi kedua dua pasukan futsal UM. Semoga kemenangan ini diteruskan di masa hadapan.














 

Sepanjang berlangsungnya perlawanan futsal, acara menembak telah dijalankan pada masa yang sama di Padang Sasar UiTM Shah Alam. Seramai 10 orang peserta telah dihantar sebagai wakil dari kontinjen UM. Untuk pengetahuan, latihan menembak sebelum berlangsungnya KSPL tidak dapat dijalankan oleh kerana beberapa kekurangan dari segi kemudahan. Kontinjen UM sekadar meraih Tempat Keempat bagi acara ini. Walaubagaimanapun, banyak yang dipelajari oleh pasukan menembak UM pada hari tersebut. Setinggi tinggi ucapan terima kasih kepada GI Azilah kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka semasa pertandingkan dijalankan.



 

Acara akhir yang dipertandingkan pada KSPL kali ini adalah acara bola tampar. Gagal mengekalkan kejuaraan lepas, pasukan bola tampar lelaki mendapat tempat Naib Johan, kalah dalam pusingan akhir yang menyaksikan perlawanan yang sangat sengit antara kontinjen UM dan KDSK dengan keputusan 25-19, 20-25 dan 15-25. Berbeza pula untuk pasukan perempuan yang gagal meraih sebarang pingat dalam KSPL lepas, pasukan bola tampar perempuan muncul selaku Johan mengetepikan pihak lawan UPM pada pusingan akhir dengan mata 25-14, 23-25 dan 25-19. Kemenangan yang sangat mengejutkan ini sudah pasti menjadi pembakar semangat untuk mengekalkan kejuaraan pada masa hadapan.











Acara penutup untuk Karnival Sukan Palapes Laut kali yang ke-15 telah diadakan di dewan Pusat Sukan UiTM menyaksikan acara penyampaian hadiah dan pengumuman juara-juara kontinjen. Keputusan akhir telah menempatkan pasukan lelaki PALAPES (Laut) UM sebagai juara dan juara untuk pasukan perempuan dimenangi oleh pasukan KD SRI KLANG. Suatu pembaharuan diperkenalkan untuk KSPL kali ini iaitu piala bagi johan keseluruhan menggantikan piala untuk atlet terbaik. Penat lelah kontinjen PALAPES (Laut) UM bermula dari sesi latihan KSPL terbayar apabila kontinjen tersebut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan sekali gus merasmikan Piala Kept Prof Madya Dr Jamalullail bin Abdullah PSSTLDM yang merupakan piala pusingan yang disumbangkan oleh Pegawai Memerintah KD Sri Klang. Dalam ucapan penutup, Yang Berbahagia Tuan memuji kemenangan yang diraih kontinjen UM dan berharap agar semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua kontinjen diteruskan pada masa hadapan. Sesungguhnya kemenangan ini sangat dibanggakan dan seluruh warga PALAPES (Laut) UM berharap agar kemenangan ini dapat dikekalkan pada masa hadapan. 

Bravo Zulu UM !