KITA JUARA!
Pada 22-23 April lalu, Karnival Sukan Palapes Laut
(KSPL) kali yang ke-15 telah berlangsung dengan gemilangnya. Acara tahunan yang telah menjadi tradisi bagi unit-unit di
bawah KD SRI KLANG itu telah mendapat sokongan semua unit iaitu PALAPES (Laut) UM, PALAPES Laut UPM, PALAPES Laut ALAM, KDSK dan PALAPES Laut UITM. Karnival ini menyaksikan giliran unit PALAPES Laut Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula sebagai tuan rumah. Kontinjen PALAPES Laut UM telah menghantar Pegawai Dalam Latihan yang terdiri daripada ambilan 15
(Mahawangsa), ambilan 16 (Gempita) dan ambilan 17 (Perkasa) untuk bersama-sama
mengambil bahagian dalam KSPL kali ini. Beberapa orang Leftenan Muda juga turut
hadir sebagai atlet dan pegawai pengiring seterusnya memeriahkan lagi acara yang berlangsung.
Seperti biasa, majlis dirasmikan oleh Pegawai Memerintah KD SRI KLANG, Kept Prof Madya Dr. Jamalullaili bin Abdullah PSSTLDM. Kontinjen UM diberi peluang untuk membuat persembahan tarian sebelum upacara perasmian diadakan.
Tidak banyak perbezaan dari tahun
sebelumnya, acara yang dipertandingkan dalam KSPL kali ini ialah larian
kampus, bola sepak, bola jaring, badminton, renang, futsal, bola tampar, dan
menembak. Acara menembak memberi kelainan untuk KSPL kali ini kerana acara ini
telah menggantikan acara hockey deck yang pernah diadakan pada tahun-tahun
sebelum ini.
Acara pertama yang dipertandingkan
sebaik sahaja selesai upacara perasmian ialah larian kampus. Kontinjen UM
telah menghantar seramai 10 orang peserta, terdiri daripada PKK Rais Kairuddin,
PKK Zahid, PKK Azri Hakim, PKK Saiful, PKK Hijrah, PKK Nanthini, PK Hazim
Azizi, PK Hazwani Hasim, PK Hafida Zazi dan PK Tan Chew Yung bagi acara ini.
Meskipun jarak larian sejauh 7km hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir sebelum pertandingan bermula, namun itu bukanlah penghalang kepada kontinjen PALAPES (Laut) UM apabila para peserta muncul sebagai Naib Johan bagi acara ini.
Setelah beberapa minit peserta larian
kampus dilepaskan, acara seterusnya dimulakan iaitu bola sepak dan bola
jaring yang diadakan serentak bertempat di Padang Bola Sepak Turf dan
Gelanggang Bola Jaring, Pusat Sukan UiTM. Semangat yang membara dengan bakat
yang diasah semasa sesi latihan sebelum hari kejadian KSPL telah berjaya
menobatkan pasukan bola sepak PALAPES (Laut) UM sebagai Johan pertandingan, mengetepikan pihak lawan pada
pusingan akhir iaitu PALAPES Laut UiTM dengan mata 4-2. Pasukan bola jaring pula meraih tempat kedua, selepas tewas dengan pasukan dari PALAPES Laut UPM. Walaubagaimanapun, pasukan
bola jaring telah menunjukkan peningkatan yang baik berbanding tahun-tahun
sebelumnya.
Kemeriahan KSPL diteruskan lagi
dengan acara badminton yang mempertaruhkan kategori beregu lelaki, beregu
perempuan dan beregu campuran. Perlawanan akhir bagi kategori beregu campuran
menyaksikan kontinjen PALAPES (Laut) UM berjaya mengalahkan pasukan dari UPM dan muncul
sebagai Johan bagi kategori ini. Tahniah diucapkan kepada PK Faiz Syahmi dan
pasangannya, PK Aqilah atas usaha dan semangat juang yang ditunjukkan. Bagi
beregu perempuan pula, kontinjen UM yang terdiri daripada PKK Suhaila Uttoh dan
PKK Farahin berjaya meraih Tempat Ketiga manakala bagi beregu lelaki yag
terdiri daripada PKK Munir dan PK Nurhakim meraih Tempat Keempat setelah tewas
kepada pasukan dari UiTM. Keputusan penuh bagi acara ini, kontinjen UM berjaya
membawa pulang pingat Gangsa di mana berjaya meraih Tempat Ketiga. Semoga
dengan pencapaian pada tahun ini dapat meningkatkan lagi semangat juang para
atlet untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai misi Emas pada KSPL kali
ke-16 kelak.
Kehangatan KSPL diteruskan lagi
dengan acara renang yang bermula pada jam 8.30 malam bertempat di Kolam Renang
Pusat Akuatik, UiTM Shah Alam. Acara ini menyaksikan perlawanan bagi kategori
50m Kuak Dada, 50m Gaya Bebas, 4x50m Kuak Dada dan 4x50m Gaya Bebas. Keputusan
penuh bagi acara renang yang dipertandingkan, kontinjen UM berjaya membawa
pulang 4 pingat Perak menerusi acara relay kuak dada dan gaya bebas
wanita, solo kuak dada wanita dan relay gaya bebas lelaki beserta 3
pingat Gangsa menerusi acara solo kuak dada lelaki, solo gaya bebas wanita dan relay
kuak dada lelaki. Kontinjen UM berjaya membawa pulang 7 pingat daripada 8
acara yang dipertandingkan. Pencapaian pada tahun ini merupakan kejayaan yang
membanggakan apabila kontinjen UM muncul selaku Naib Johan bagi keseluruhan
untuk acara ini.
Hari kedua Karnival Sukan Palapes
Laut dimulai dengan acara futsal lelaki dan perempuan yang diadakan serentak. Walaupun
masih belum hilang dari kepenatan KSPL hari pertama, semangat juang yang tinggi
tidak melunturkan semangat para pemain dan kontinjen UM. Bangkit dari kekalahan
lepas, pasukan futsal lelaki membuat kemunculan semulanya dengan muncul sebagai
juara mengetepikan pihak lawan dari UiTM dengan mata 1-0. Gol kemenangan untuk
perlawanan yang sangat sengit ini adalah hasil sepakan PK Syazrin. Tidak kurang
hebatnya dengan pasukan lelaki, pasukan futsal perempuan UM juga berjaya
melayakkan diri mereka ke peringkat akhir dan muncul sebagai Naib Johan. Meskipun
pada perlawanan pertama, penjaga gol utama bagi pasukan perempuan, PKK Ayu
telah dirempuh oleh pihak lawan dan mengalami kecederaan teruk di kepala, namun
ianya bukan penghalang bagi pasukan futsal perempuan untuk meneruskan
perjuangan di separuh masa kedua. Tahniah bagi kedua dua pasukan futsal UM. Semoga
kemenangan ini diteruskan di masa hadapan.
Sepanjang berlangsungnya perlawanan
futsal, acara menembak telah dijalankan pada masa yang sama di Padang Sasar
UiTM Shah Alam. Seramai 10 orang peserta telah dihantar sebagai wakil dari
kontinjen UM. Untuk pengetahuan, latihan menembak sebelum berlangsungnya KSPL
tidak dapat dijalankan oleh kerana beberapa kekurangan dari segi kemudahan. Kontinjen
UM sekadar meraih Tempat Keempat bagi acara ini. Walaubagaimanapun, banyak yang
dipelajari oleh pasukan menembak UM pada hari tersebut. Setinggi tinggi ucapan
terima kasih kepada GI Azilah kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka
semasa pertandingkan dijalankan.
Acara akhir yang dipertandingkan pada
KSPL kali ini adalah acara bola tampar. Gagal mengekalkan kejuaraan lepas,
pasukan bola tampar lelaki mendapat tempat Naib Johan, kalah dalam pusingan
akhir yang menyaksikan perlawanan yang sangat sengit antara kontinjen UM dan
KDSK dengan keputusan 25-19, 20-25 dan 15-25. Berbeza pula untuk pasukan
perempuan yang gagal meraih sebarang pingat dalam KSPL lepas, pasukan bola
tampar perempuan muncul selaku Johan mengetepikan pihak lawan UPM pada pusingan
akhir dengan mata 25-14, 23-25 dan 25-19. Kemenangan yang sangat mengejutkan
ini sudah pasti menjadi pembakar semangat untuk mengekalkan kejuaraan pada masa
hadapan.
Acara penutup untuk Karnival Sukan
Palapes Laut kali yang ke-15 telah diadakan di dewan Pusat Sukan UiTM
menyaksikan acara penyampaian hadiah dan pengumuman juara-juara kontinjen. Keputusan
akhir telah menempatkan pasukan lelaki PALAPES (Laut) UM sebagai juara dan juara untuk pasukan
perempuan dimenangi oleh pasukan KD SRI KLANG. Suatu pembaharuan diperkenalkan untuk
KSPL kali ini iaitu piala bagi johan keseluruhan menggantikan piala untuk atlet
terbaik. Penat lelah kontinjen PALAPES (Laut) UM bermula dari sesi latihan KSPL terbayar
apabila kontinjen tersebut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan sekali gus merasmikan Piala
Kept Prof Madya Dr Jamalullail bin Abdullah PSSTLDM yang merupakan piala
pusingan yang disumbangkan oleh Pegawai Memerintah KD Sri Klang. Dalam ucapan
penutup, Yang Berbahagia Tuan memuji kemenangan yang diraih kontinjen UM dan
berharap agar semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua kontinjen
diteruskan pada masa hadapan. Sesungguhnya kemenangan ini sangat dibanggakan
dan seluruh warga PALAPES (Laut) UM berharap agar kemenangan ini dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Bravo Zulu UM
!
No comments:
Post a Comment