Thursday 18 August 2016

Join Navy, See the World!

 
Kem Tahunan Fasa 3 yang dijalankan di KD SULTAN IDRIS 1 (KDSI1), Lumut, Perak.

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)-Laut merupakan sebuah pasukan yang terdiri daripada bakal-bakal pegawai simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan dilatih selama tiga tahun dalam waktu pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya. Selepas tamat latihan selama tiga tahun, mereka akan ditauliahkan dan berkhidmat dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dengan pangkat Leftenan Muda. Pelbagai kursus diperlukan jika pegawai simpanan berhasrat untuk dinaikkan pangkat (Leftenan Dya dan ke atas).

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah kelebihan, keistimewaan dan manfaat yang bakal diperoleh apabila menyertai PALAPES Laut Universiti Malaya, bukan?
Apa yang pasti, PALAPES Laut sedikit sebanyak mampu membantu para pelajar dari segi kewangan mahupun ilmu pengetahuan mengenai TLDM dan mereka bakal mengalami sendiri kehidupan sebagai seorang tentera laut.

Kawad CO di KD SRI KLANG (KDSK).

Seperti yang kita sedia maklum, sudah banyak berita mengenai 'pelajar kelaparan' yang tersebar di dada-dada akhbar mahupun kaca TV. Oleh yang demikian, PALAPES Laut Universiti Malaya dengan sukacitanya mengajak anda semua untuk menyertai kami kerana dengan menyertai PALAPES Laut Universiti Malaya, Pegawai Dalam Latihan (PDL) akan dibayar RM6/jam sepanjang latihan berlangsung, dimana PDL akan dibayar RM120-RM360 sebulan mengikut tempoh latihan yang dijalankan. PDL juga akan dibayar dengan pelbagai elaun termasuk bonus setiap tahun (RM500 ke atas) dan elaun Kem Tahunan (selama tiga tahun latihan, RM400 ke atas).

Selain itu, PDL akan disediakan makanan dan minuman PERCUMA sepanjang latihan diadakan dan kolej juga akan disediakan kepada mereka selama tiga tahun pengajian sehingga pentauliahan. Bilik yang luas dan lengkap dengan fasiliti dapat menjaga kebajikan PDL pada tahap yang terbaik.

Majlis RPC yang disertai oleh Ambilan 12 hingga 15.

Bukan itu sahaja, PDL juga akan merasai sendiri pengalaman menjalani latihan di atas kapal milik TLDM sendiri, seperti KD Mahawangsa, Kapal Layar Diraja Tunas Samudera dan sebagainya. Tidak ketinggalan, PDL bakal dilatih untuk menembak menggunakan senjata kecil seperti M-4. Sebelum itu, PDL bakal disiapkan dengan ilmu-ilmu asas TLDM, daripada ilmu pentadbiran (administration) sehinggalah persenjataan (gunnery). Sesungguhnya, pelajaran dan pengajaran teori dan praktikal ini sangat berharga bagi PDL dalam menyiapkan diri untuk menjadi lapisan kedua pertahanan negara sebagai Pegawai Simpanan TLDM.

Latihan yang dijalankan di atas Kapal Diraja Hang Tuah (KD HANG TUAH).

Dengan penerapan nilai-nilai positif yang sentiasa diamalkan oleh TLDM, PDL secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri dan menambah 'soft skills' untuk persiapan dalam menempuh alam pekerjaan kelak. Sijil PALAPES Laut yang ditanda tangani sendiri oleh Agung juga mampu menjadi 'tiket' premium buat bakal graduat untuk menempah tempat dalam pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia.

Taklimat ringkas diberikan oleh GI Nazemi semasa FOMDEX.

Mungkin ramai yang memandang remeh akan penglibatan pelajar Ijazah Sarjana Muda sebagai anggota PALAPES Laut di Universiti Malaya, namun mereka tidak sedar akan kelebihan-kelebihan di atas, termasuklah mereka akan mendapat Kad Pengenalan Angkatan Tentera Malaysia (Bat-C 20) yang mempunyai banyak faedahnya. 

Jadi, apa tunggu lagi? Siapkan diri anda untuk menyertai kami! Sebarang pertanyaan atau maklum balas, anda boleh terus hubungi kami melalui akaun Twitter rasmi PALAPES (Laut), Universiti Malaya di http://twitter.com/RotuNavyUM. #SediaBerkorban #JomMasukPALAPES #RotuNavyUM #NavyPeople




PKK Mohamad Ashraf Bin Md Salleh
Editor
Mahawangsa 15
PALAPES (Laut), Universiti Malaya

1 comment:

  1. Salam... Sy ialah slh seorg bkl pelajar um... Dn jujurnya sy agk berminat utk menyertai palapes ini... Namun, sy agk risau dgn komitmen yg diperlukan kerana pda masa yg sma sy perlu cmerlang dlm akademik, dn kos yg sy ambil ialah antra tough course di uni... Oleh itu, sy ingin mnujukan bberapa soalan, adakah pernah berlaku pelajar 1st class honour ggraduated jga merpakan ahli palapes? Next, adakah ahli palapes dbenarkan utk mndptkan biasiswa yg mmpunyai syarat bonding?
    Terima kasih ��

    ReplyDelete