Friday 7 October 2016

ISTIADAT PENTAULIAHAN DIRAJA PEGAWAI KADET PALAPES UNIVERSITI AWAM KALI KE-35


Selepas menyelusuri pelbagai aktiviti PALAPES (Laut), Universiti Malaya, kita ikuti pula perkembangan seterusnya yang merupakan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu oleh kesemua Pegawai Dalam Latihan (PDL). 

Pada hari Sabtu, bertarikh  20 Ogos 2016 bersamaan 17 Zulkaedah 1437, Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam kali ke-35 telah berlangsung secara penuh beristiadat. Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Kali Ke-35, sekaligus mentauliahkan kesemua Pegawai Kadet dalam istiadat tersebut.

Sultan Perak, Sultan Dr. Nazrin Shah memperkenan Istiadat Pentauliahan kali ini.

“Watan Martabat Negara Bangsa Berdaulat” merupakan tema bagi Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam kali ini. Istiadat pentauliahan diraja ini merupakan majlis yang dilaksanakan pada setiap tahun yang bertujuan untuk mentauliahkan para Pegawai Kadet dari universiti-universiti awam dari seluruh Malaysia, yang telah menjalani latihan selama tiga tahun dalam Pasukan Simpanan Pegawai Sukarela (PALAPES) di universiti masing-masing. Seramai 1675 orang Pegawai Kadet telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda oleh Yang Maha Mulia Sultan Nazrin.

Upacara Penyampaian Watikah Pentauliahan.


Pegawai Kadet dari kesemua universiti awam telah menjalani latihan kawad selama dua minggu di Padang Kawad Kompleks PALAPES, Universiti Malaya sebagai persediaan untuk melalui fasa baru sebagai Leftenan Muda dan berkhidmat sebagai pegawai dalam pasukan simpanan sama ada dalam unit Tentera Laut, Darat mahupun Udara. Watikah pentauliahan juga telah disampaikan oleh Yang Maha Mulia Sultan Nazrin di Dewan Tunku Chanselor, Universiti Malaya.
           
Pegawai Kadet Terbaik Universiti Malaya, Lt M Nur Hazira Binti Md Alimuddin
bersama ibu dan bapanya.

Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES (Laut) Universiti Malaya bagi tahun 2016 melibatkan seramai 9 orang Pegawai Kadet wanita. Leftenan Muda Nur Hazira bt Md Alimuddin (PSSTLDM), telah diangkat sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES (Laut) Universiti Malaya. Pencapaian beliau telah membanggakan semua warga PALAPES (Laut) Universiti Malaya. Beliau juga layak dijadikan sebagai role model kepada semua Pegawai Kadet junior yang lain. Kejayaan beliau membuktikan bahawa penglibatan pelajar dalam PALAPES Laut tidak menghalang sesiapa untuk berjaya dalam kokurikulum dan juga akademik.

Ahli-ahli keluarga para Pegawai Kadet yang ditauliahkan.

Istiadat Pentauliahan Diraja ini bukan sahaja dinanti-nanti oleh semua Pegawai Kadet, malah ibu bapa dan keluarga juga sangat teruja menantikan perbarisan yang akan dipersembahkan oleh anak-anak mereka. Istiadat Pentauliahan Diraja ini dihadiri oleh sebahagian besar ahli keluarga para Pegawai Kadet yang terlibat. 




No comments:

Post a Comment