Monday, 2 December 2013

Lawatan Akademik & Delegasi ke Kemboja 2013

TARIKH : 24-28 November 2013
TEMPAT: Phnom Penh

            Projek Lawatan Akademik dan Delegasi ke Kemboja sekali lagi adalah merupakan kesinambungan projek-projek yang dijayakan pada sebelum ini dan merupakan salah satu projek tahunan yang paling berjaya di bawah seliaan PALAPES Universiti Malaya sejak beberapa tahun yang lalu. Justeru, bagi mencapai misi dalam mengantarabangsakan PALAPES Universiti Malaya, objektif utamanya adalah untuk mempelajari tentang hubungan diplomatik kedua negara dari Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Kemboja selain melihat beberapa aspek penting bagi sesebuah negara seperti sejarah, budaya, sosioekonomi dan ketenteraan di Kemboja. Seramai 30 orang anggota PALAPES UM dan 15 pegawai tetap dan pegawai sukarela juga jurulatih telah mengikuti delegasi ini. Penglibatan oleh PALAPES Laut UM adalah seramai 9 orang Pegawai Kadet Kanan, 3 orang pegawai dan seorang jurulatih. Tour Guide kami sepanjang program itu ialah mr. Kaub Yousos atau lebih mesra dipanggil bong yusof. Dia adalah seorang pemuda melayu cham.

24 Nov 13, Hari pertama:
Sebahagian anggota telah berkumpul di Kompleks Palapes UM pada pukul 3.00 pagi bagi menaiki bas ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT).Penerbangan kami ke Kemboja pada pukul 7.05 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Phnom Penh pada pukul 8.55 pagi. Ini bermakna, kami telah tiba di lapangan terbang Phnom Penh pada pukul 7.55 pagi waktu tempatan. Beza masa bagi Malaysia dan Kemboja adalah sejam lebih awal. Ketibaan kami telah disambut oleh Penasihat Pertahanan Malaysia iaitu Kolonel Adnan Bin Ariffin.



Kemudian, kami telah bergerak untuk ke Siem Reap dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa selama 6-8 jam. Kami telah berhenti berehat di Spider Market yang terletak di antara Phnom Penh dan Daerah Kampung Cham. 


punca pasar dinamakan sebagai Spider market adalah kerana labah-labah
goreng ini. Rasanya rangup seperti cucur.


Kami telah menginap di Myhibiscus Hotel untuk satu malam. Pada pukul 8.00 malam waktu Kemboja, kami telah bersiap untuk makan malam di Bopha Angkor Restaurant. Selepas itu, kami telah dibawa ke Siem Reap Art Center Night Market sebelum bergerak pulang ke Hotel dengan menaiki tuk-tuk ( teksi utama orang Kemboja). 


Bopha Angkor Restaurant

Siem Reap Art Center Night Market

Untuk menjamu selera, restoran makanan halal mungkin sukar didapati memandangkan kebanyakan daripada penduduk beragama Buddha namun terdapat beberapa restoran halal di sini, salah satunya ialah Wau Restaurant, D' Nyonya Restaurant dan Mamak's Corner Restaurant. Selain itu, restoran KFC juga menghidangkan makanan halal untuk pelancong beragama Islam. 

sesedap makanan malaysia







25 Nov 13, Hari kedua:
Selepas bersarapan dan check out dari Myhibiscus Hotel, perjalanan kami diteruskan untuk ke Angkor wat. Angkor Wat sehingga kini seni bina ini menjadi kebanggaan negara Kemboja. Angkor Wat ini dibina bagi didedikasikan kepada tuhan Vishnu dan mengambil masa selama 37 tahun untuk membina kuil ini. Ia dibina oleh Raja Suryavaman II pada awal abad ke-12 sebagai kuil negara dan ibu kota. Ia dibina menggunakan tenaga manusia dan 3000 ekor gajah. Terdapat sebuah dinding utama di dalam Angkor Wat yang menjadi tarikan utama pelancong di mana dinding tersebut penuh dengan ukiran yang menceritakan tentang peperangan zaman lampau. 





Tapak kaki orang dahulu yang dipindahkan dan dibawa
ke tapak ini.
kolam renang yang dipercayai tempat mandian raja dan apsara.
 Terdapat 8 kolam semuanya


Kemudian kami telah bertolak untuk ke New York Hotel, Phnom Penh. Kami berhenti untuk makan di perkampungan orang Cham iaitu Kampung Potien. Terdapat masjid yang agak besar didirikan di kampung itu. Difahamkan masjid ini terbina hasil sumbangan daripada orang kaya Kemboja sendiri yang menetap di Singapura dan orang-orang Arab serta Malaysia. Di Kemboja, kerajaan membebaskan untuk beragama akan tetapi kerajaan tidak akan sesekali memberikan bantuan kewangan untuk membina masjid, madrasah atau lain-lain pusat. Mereka perlu berusaha untuk mencari sendiri. 


masjid Darul Ridwan yang terletak di perkampungan melayu Cham

26 Nov 13, Hari ketiga:
Perjalanan kami bermula dengan melawat ke National Defence University (NDU). Taklimat mengenai NDU telah disampaikan oleh M.G Thet Chanbormey. NDU merupakan institusi yang melatih para pegawai kanan. 




Selepas itu, kami telah melawat ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja. Ketibaan kami disambut oleh Penasihat Pertahanan Malaysia iaitu Kolonel Adnan. Seterusnya, kami diberikan taklimat oleh YM Raja Saiful Ridzuwan berkenaan hubungan diplomatik Malysia dan Kemboja dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Brig Jen Datuk Mahadi Bin Abdul selaku ketua delegasi membuat kunjungan hormat ataupun "courtesy call" kepada pihak Kedutaan Besar, TYT Raszlan Bin Abdul Rashid. 




Pada waktu petang pula kami telah dibawa melawat ke Cambodian Navy Headquarters. Pertemuan kami berlangsung di bilik mesyuarat ibu pejabat tentera laut. 




27 Nov 13, Hari keempat:
Lawatan dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan melawat ke Cadet Officer School of Cambodia. Kami telah tiba di sekolah tersebut pada pukul 9.45 pagi walaupun lalulintas sesak namun perjalanan kami dipermudahkan dengan diiringi oleh kereta peronda “Gendemarie” iaitu pegawai polis Kemboja. Sekolah ini dinamakan sebagai Army School sebelum ditukar kepada Officer Cadet School pada tahun 1994.  Sekolah ini banyak mendapat bantuan daripada Perancis sewaktu menjajah kemboja sebelum ini. Antara bantuan daripada Perancis kepada sekolah ini ialah bangunan,tapak latihan dan biasiswa kepada kadet yang layak melanjutkan pelajaran ke Perancis. 


PALAPES UM bergambar bersama kadet Kemboja dan para pegawai
Kemudian kami telah melawat ke Tapak Pembunuhan atau Killing Field. Kawasan yang dikhaskan oleh rejim Khmer Rouge bagi tujuan pembunuhan dan perkuburan besar sepanjang tahun 1975-1979. Berdasarkan analisis terdapat sekitar 20000 lubang kubur besar dan menurut kajian university Yale terdapat 1386734 juta mangsa terbunuh. Killing field ini menjadi lokasi pembunuhan orang-orang Kemboja yang tidak bersalah dan kebanyakannya adalah bijak pandai orang Kemboja sendiri. Semasa Januari 1979, tentera Vietnam dan orang-orang kemboja akhirnya berjaya menentang dan mengalahkan tentera Khmer Rouge. Namun, apabila masuk dlm penjara ini didapati ada 14 orang yang terakhir disiksa dan dibunuh. Daripada puluhan ribu yang dibunuh, 7 orang yang telah berjaya terselamat. 

antara mangsa yang terselamat: Chun manh.
menurut tour guide beliau sudah berumur
81 tahun

Bangunan stupa peringatan yang menyimpan tengkorak-tengkorak
manusia yang mati dibunuh dengan kejam oleh Rejim Pol Pot.
bangunan setinggi 7 tingkat menempatkan bilangan tengkorak
mengikut umur
menurut mr. Yousos tengkorak putih adalah orang yang baru nak membesar
manakala tengkorak coklat adalah orang tua. Rekahan pada kepala pula adalah pukulan
dan siksaan yang diterima sebelum dibunuh
pokok pembunuhan: kanak-kanak dan bayi di bunuh dengan cara di tonggengkan kepala ke bawah
dan kaki di pegang lalu di hayunkan ke pokok sampai pecah kepala mereka. Dan mangsa
dicampakkan ke dalam lubang bersama ibu-ibu mereka yang kebanyakannya mati tanpa
seurat benang setelah dirogol

Kemudian, kami dibawa melawat ke Tuol Sleng Genocide Museum atau lebih dikenali sebagai S-21. Tempat ini pada mulanya merupakan sebuah sekolah tetapi telah ditukarkan menjadi penjara oleh pemerintah Khmer Rouge iaitu Pol Pot. Di sini lah mangsa akan di soal siasat, didera dan disiksa dengan pelbagai peralatan dan kaedah penyiksaan untuk mendapat pengakuan bersalah. Mangsa dipaksa mengaku bersalah atas apa jua tuduhan yang dikenakan, kemudian butir-butir pengakuan akan direkodkan dan diambil gambar untuk dihantar kepada pemerintah sebagai bukti mereka adalah penderhaka dan seterusnya akan dibawa ke tapak pembunuhan Killing Field untuk dibunuh.

gambaran siksaan yang mana kaki di ikat dan kepala ditenggelamkan
dalam tempayan berisi air
tour guide kami sepanjang lawatan, mr. Yousos.
ini adalah bilik tahanan

dahulu ini adalah tempat senaman kanak-kanak sekolah namun
 setelah regim Khmer Rouge dijadikan tempat siksaan yang zalim
antara mangsa-mangsa yang terbunuh

bangunan yang dahulunya sekolah tetapi dijadikan penjara
semasa pemerintahan pol pot

Pada malam hari diadakan makan malam bersama dengan pihak kedutaan di “Bhopa Phnom Penh Titanic Restaurant” sebagai menghargai kerjasama yang diberikan oleh mereka. Oleh itu , pada pukul 6.30 petang kami berpakaian batik bergerak ke sana dengan menaiki bas yang disediakan. Makan Malam tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada delegasi kepada pihak kedutaan sebagai tanda penghargaan.




28 Nov 13, Hari kelima:
Hari terakhir merupakan aktiviti santai kami, Kami telah dibawa ke Toul Tom Pong/ Russian Market. Pasar ini dinamakan sedemikian disebabkan oleh ramai oang rusia pada tahun 1980 maka digelarlah pasar ini pasar rusian. Tempat ini mungkin kurang selesa, agak panas dan sempit berbanding Central Market. Namun, harga yang dijual disini lebih murah sedikit dan pilihan barang untuk membeli belah lebih banyak berbanding di Central Market.




Manakala Thmey Market/ Central Market adalah tempat yang paling disukai oleh pelancong untuk membeli belah dengan harga yang berpatutan. Pasar ini mula dibina pada tahun 1935. Dahulu, kawasan ini hanyalah sebuah danau yang selalu banjir. 




Kami juga berkesempatan untuk melihat Monumen Kemerdekaan (Independence Monument). Independence Monument dibina pada tahun 1957, iaitu semasa rakyat Kemboja mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1953. Bangunan ini mempunyai 100 kepala naga sebagai simbolik dan lambang mereka bebas daripada penjajah. Kuasa naga tersebut dikatakan dapat menghalang kerajaan Kemboja daripada dijajah oleh kuasa asing yang lain.
monumen kemerdekaan


Istana Diraja (Royal Place). The Royal Palace dibina pada tahun 1866 oleh Seri Paduka Raja Norodom. Nama penuh istana ini dalam bahasa Khmer ialah Preah Barum Reachea Veang Chaktomuk. Istana ini didiami oleh raja-raja Kemboja sejak dahulu kala lagi. Kini, Istana Diraja ini merupakan kediaman Raja Preah Bat Samdech Preah Norodom Sihanouk yang merupakan Raja Kemboja, dan Preah Reach Akka-Mohesey Norodom Monineath Sihanouk yang merupakan Ratu Kemboja. Setelah kemangkatan Seri Paduka Raja Norodom Sihanouk, maka istana ini pula didiami oleh Seri Paduka Raja Norodom Sihamoni yang baharu sahaja ditabalkan sebelum kemangkatan ayahandanya lagi. Istana ini dibina secara berperingkat di atas kubu lama yang dipanggil Banteay Kev. Ia menghadap ke arah timur dan terletak di bahagian barat antara Sungai Tonle Sap dan Sungai Mekong.





Akhirnya. kami telah menamatkan lawatan dan bergerak ke Phnom Penh International Airport sehingga tiba masa perlepasan yang dijangka pada pukul 4.45 petang dengan menaiki pesawat Air Asia, AK1475.


gambar terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh
             Daripada hasil pemerhatian delegasi PALAPES UM ke Kemboja, negara ini masih jauh ketinggalan dengan Malaysia dalam pelbagai aspek. Sebagai contoh kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air masih belum dibangunkan sepenuhnya di Kemboja terutama di luar bandar. Hampir 50% penduduk luar bandar masih belum mempunyai kemudahan air dan elektrik kerana kemiskinan dan tidak dapat bantuan kerajaan. Tiada saluran paip dibina untuk menyalurkan air bersih di kebanyakan kampung. Sebahagian kampung menggunakan pam air bawah tanah. Seterusnya, kemudahan elektrik hanya keluarga yang mampu sahaja dapat menikmati kemudahan ini. Harga elektrik dan air juga mahal dan sukar untuk ditampung oleh kebanyakan rakyat Kemboja. 

           Pol Pot telah memusnahkan hampir apa saja tamadun dan asas kehidupan moden daripada kenderaan, peralatan canggih sehingga menyebabkan rakyat Kemboja kembali mundur. Semua perkara dilakukan secara manual termasuk manusia dipaksa menarik bajak di sawah menggantikan lembu dan kerbau. Apa saja perkakasan dan ciptaan moden dimusnahkan kemudian diganti dengan konsep sama rata dan kembali ke zaman kuno. Sesungguhnya, rakyat Kemboja telah mengharungi perjalanan yg perit namun mereka masih perlu bergerak maju kehadapan untuk berdiri setanding semula dengan negara-negara membangun lain. Kita pula sebagai rakyat Malaysia tidak perlu untuk bermegah dan membandingkan segala kemewahan yang ada. Malahan sekiranya mempunyai sumber kewangan lebih, kita digalakkan untuk menyumbangkan sedikit bantuan untuk membantu nasib mereka.

Kami bertemu dengan ramai orang, dan kami melihat pelbagai keindahan di Kemboja. Kami terpegun dengan keindahan Angkor Wat dan medan pembunuhan di Choeung Ek amat menyentuh jiwa kami. Itulah yang dimaksudkan oleh Sydney Schanberg mengenai Kemboja - a country that one learns "to love and to pity”. 


             Dalam kesayuan melihat anak-anak Kemboja itu, kami amat bersyukur kerana selama kami hidup di bumi Malaysia ini, kita dapat kehidupan yang sempurna. Tempat belajar, rumah, sekolah, makan semua ada. Walaupun ada segelintir rakyat Malaysia yang susah tetapi tak setanding dengan apa yang sahabat-sahabat kita di Kemboja rasa. Oleh itu, bersyukurlah kita ke atas nikmat yang Allah kurniakan ini. Sentiasa kita berdoa agar nikmat ini tidak akan diambil semula lantaran sikap kita yang bukan sahaja tidak tahu erti syukur malah ada yang berniat untuk menghancurkan keamanan yang ada. 

"to understand combodia u need to understand its recent history"

Thursday, 21 November 2013

MAJLIS PELANCARAN TABUNG PAHLAWAN PERINGKAT IPT

20 Nov 13, Rabu - Dewan Tun Templer, Kem Sg Besi

Seramai 29 orang pegawai kadet PALAPES Laut ambilan 13 bersama-sama dengan PALAPES Darat UM telah menghadiri satu majlis rasmi iaitu Majlis Pelancaran Tabung Pahlawan peringkat IPT. Tahun ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dipilih sebagai tuan rumah untuk melancarkan majlis tersebut. Antara objektif kempen Tabung Pahlawan adalah :

  1. Memberikan kesedaran kepada semua mahasiswa di IPTA mengenai pengorbanan, perit jerih serta jasa pahlawan-pahlawan yang telah menggadaikan nyawa demi kedaulatan negara.
  2. Membantu mengumpul dana Tabung Pahlawan ke sasaran mencapai RM5 juta.
  3. Membantu memupuk sifat keprihatinan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dari pelbagai peringkat, baik dari orang perseorangan mahupun korporat yang tidak jemu mara kehadapan menghulurkan bantuan yang diperlukan. Amalan ini harus dipupuk dan ditanam dalam sanubari semua mahasiswa IPTA supaya menjadi satu budaya dalam masyarakat 1 Malaysia terutamanya generasi muda.
  4. Membentuk semngat patriotisme dalam kalangan mahasiswa IPTA seterusnya meningkatkan jati diri mereka.
  5. Membantu mendidik generasi muda dengan semangat sanggup berkorban demi Negara agar mereka tidak sekali-kali mencemarkan imej Negara kepada pihak luar.


            Majlis yang gilang gemilang ini telah dihadiri oleh YB Datuk Abd Rahim Bin Bakri (Timbalan Menteri Pertahanan) , Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar bin Haji Mohd Noor (Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia) dan Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin (Naib Canselor UPNM).

         Ketibaan Timbalan Menteri Pertahanan telah disambut dengan tarian 'Wardance' daripada UPNM di hadapan perkarangan Dewan Templer. Kemudian diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Perwira.

Ucapan alu-aluan

            Kata-kata aluan daripada Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia sedikit sebanyak telah menyedarkan ramai pihak betapa banyaknya pengorbanan pejuang Veteran dalam menjaga keamanan Negara. Tabung Pahlawan ini telah dilancarkan sebagai memperingati kemenangan dan menginsafi betapa dahsyatnya kesan-kesan peperangan serta memberikan sumbangan untuk menjaga pahlawan-pahlawan Vetran dan keluarga mereka yang memerlukan.

             Perasmian majlis oleh YB Datuk Abd Rahim Bin Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan diadakan dengan gimik Pelancaran Tabung Pahlawan. Penyerahan sejumlah wang sebagai perasmian daripada UPNM Business serta Koperasi UPNM kepada Timbalan Menteri Pertahanan. Penyampaian Tabung Pahlawan kepada semua 20 wakil IPTA turut tidak ketinggalan. Kempen Tabung Pahlawan diharapkan dapat diteruskan di seluruh kampus di Malaysia.

sedang berlangsungnya gimik perasmian majlis

sebahagian daripada PDL yang hadir
                     Sebelum majlis bersurai, tetamu yang hadir dihiburkan dengan penampilan istimewa daripada Datuk Jamal Abdillah. Beliau menyampaikan lagu patriotik dan menyanyikan lagu yang telah dipopularkan oleh beliau sendiri. Persembahan puisi daripada pelajar UPNM sendiri telah berjaya mencetuskan kesedaran tentang pengorbanan seorang pahlawan Negara. Majlis tamat lebih kurang pada jam 2230H.

Thursday, 14 November 2013

FOMDEX di KDSI


Lumut, 7 Nov 13 - Anggota PALAPES Laut UM telah diberi peluang untuk menjalani latihan Fitness Orientation and Mental Development Exercise (FOMDEX) ke Pangkalan TLDM Lumut.Program ini berlangsung dari 7-11 November 2013. Seramai 36 orang Pegawai Dalam Latihan (PDL) yang terlibat dalam aktiviti tersebut. Perjalanan ke Pangkalan TLDM dimulakan pada 1400H dengan menaiki bas UM yang disediakan.

OBJEKTIF 
  • memberi pendedahan tentang sikap, disiplin dan budaya juga pengalaman baru terutamanya kepada anggota kadet mengenai Pangkalan TLDM Lumut. 
  • sebagai persediaan dari semua aspek sebelum ke latihan fasa di KDSI 1 
  • mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara jurulatih, pegawai dan pegawai kadet senior dan junior melalui aktiviti yang dilakukan. 
  • meningkatkan ilmu dan kadar stamina dalam kalangan pegawai dalam latihan 



7 Nov 2013, Hari pertama: 
ketibaan anggota PDL bersama pegawai serta jurulatih disambut baik oleh pihak di Wisma Suria yang mana telah menguruskan segala keperluan untuk penginapan selama empat hari di Pangkalan TLDM Lumut. Tepat jam 2000H anggota PDL telah diberikan taklimat oleh Leftenan Mahendra berkaitan peraturan berkenaan WISMA SURIA. Segala rutin harian telah ditaklimatkan oleh beliau.




8 Nov 13, Hari kedua: 
Seawal 0530H semua anggota PDL melakukan aktiviti pagi untuk meningkatkan stamina dan kekuatan fizikal. Setelah mengambil sarapan, semua anggota PDL serta jurulatih dan pegawai yang mengiringi lawatan tersebut telah berkesempatan untuk melawat WASPADA (Bridge Shiphandling Simulator) di KD PELANDOK. Lawatan tersebut dikendalikan oleh Tuan Malek dan Bintara Muda JPP Hamzani. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Penyelaku Anjungan Kolej Tentera Laut Diraja, Laksamana Datuk Ramly Abu Bakar pada 27 April 2003.





Sepanjang berada di WASPADA, anggota PDL telah merasai pengalaman berada di main bridge kapal. Krew dari KD Ganas pada waktu tersebut sedang menjalankan latihan simulasi atas kapal dan secara tidak langsung telah menunjukkan dan memberikan gambaran sebenar kepada anggota PDL tentang tugas-tugas yang perlu dilaksanakan sepanjang pelayaran dan bagaimana untuk mengatasi cuaca dan persekitaran yang kurang baik sewaktu pelayaran. 




Lawatan seterusnya ke Boat House atau nama lain yang telah diperkenalkan iaitu Pusat Latihan Kemahiran AIR. Pegawai Waran 2, incik Hafis yang telah berkhidmat selama 15 tahun dalam TLDM telah memberikan taklimat serta penerangan yang jelas berkenaan dengan Boat House . Beliau yang aktif dalam kejohanan pelayaran telah mewakili TLDM. Anggota PDL telah diperkenalkan oleh beliau sedikit sebanyak segala ilmu berkaitan dengan pelayaran, pengenalan kepada jenis-jenis bot dan jenis ikatan tali. 


Sebagai anggota penyelamat atau navy, hendaklah tahu dan membiasakan dengan ikatan- ikatan dan simpulan-simpulan asas. Setiap penyelamat harus belajar dan berlatih serta memahirkan diri bagaimana membuat dan mengunakannya dengan betul, cepat dan cekap kerana ianya ada kaitan dengan ikatan tali pada kapal, penyelamatan nyawa mangsa dsbnya.





Pada sebelah petang pula anggota PDL berkesempatan untuk menaiki perahu panjang.Sebelum itu, kesemua PDL dibahagikan kepada 2 kumpulan dan dibenarkan untuk menyusuri kawasan sekitar Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut. Walaupun hanya untuk beberapa jam sahaja, namun aktiviti yang dijalankan sepetang ini sungguh menyeronokkan. Aktiviti selesai sekitar jam 1730H dan diakhiri dengan kudapan ringan.








Pada sebelah malam pula, Kdr Haris sempat meluangkan masa bersama-sama dengan anggota PDL dari UM dan UMP. Beliau memberikan taklimat dan memberikan penerangan teliti tentang Navy yang sebenarnya. Beliau berharap agar ramai yang akan melapor diri dalam unit PSSTLDM setelah tamat latihan PALAPES dan memilih TLDM sebagai kerjaya pilihan. Beliau juga menekankan visi TLDM 'To Be A World Class Navy'(Always Excellent) dengan kata lain menjadikan tentera laut bertaraf dunia yang mempunyai sebuah organisasi yang komited, kompeten, memandang ke hadapan, berusaha untuk kualiti dan penambahbaikan yang berterusan di dalam pengurusan sumber dan teknologi. Keunggulan dan keprofesionalan yang diasas oleh pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran pegawai dan anggotanya dengan penambahan nilai-nilai kemanusiaan sekaligus membentuk keberanian fizikal dan moral.Latihan pada hari kedua tamat sekitar jam 2300H. Semua pelatih pulang ke blok kediaman untuk berehat dan pentadbiran diri. Persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal perlu dilakukan kerana latihan praktikal akan dilaksanakan pada keesokan harinya.


9 Nov 13, Hari ketiga: 
Seperti kebiasaannya, anggota PDL akan menjalani latihan fizikal pada waktu pagi sebelum mengambil sarapan. Kemudian, semua anggota PDL bersama jurulatih serta Pegawai Koordinasi UM, Lt Mohd Aminuddin bin Jamil TLDM bergerak menuju ke TANGKAS berhampiran dengan Pusat Latihan Kemahiran Air. 



Para pegawai dan anggota disambut mesra oleh Pegawai Staf Pengajian CBRNDC, Lt Mohd Shafiq bin Zainal TLDM dan beberapa orang jurulatih. Sebelum latihan dimulakan, taklimat keselamatan dan ucapan alu-aluan telah disampaikan di bawah seliaan dan tunjuk ajar oleh Jurulatih TANGKAS yang berpengalaman luas itu. TANGKAS atau lebih dikenali sebagai Damage Control Fire Fighting Unit (DCFF) merupakan satu organisasi latihan kebombaan di bawah naungan sekolah NBCD KD PELANDOK untuk melatih warga TLDM dalam konteks DCFF dan NBCD. DCTU direkabentuk menyerupai satu keratan badan kapal dgn tujuan untuk memberi latihan dan pendedahan mengenai kebocoran kapal. FFTU pula direkabentuk menyerupai satu bahagian kapal yg akan mengalami kebakaran minyak. Konsep latihan menggunakan simulator ini berasal daripada British dan mampu mewujudkan suasana latihan seperti keadaan sebenar di kapal. Ia juga bertujuan untuk mempersiapkan diri setiap pegawai dan anggota TLDM dengan ilmu MKMA sebelum dihantar bertugas di atas kapal-kapal TLDM.


Latihan dimulakan dengan pemanasan badan selama beberapa minit untuk mengelakkan kecederaan dan menguatkan stamina sebelum latihan praktikal Mencegah Kebanjiran Melawan Api (MKMA)  dijalankan. Para peserta dapat melawat ke dalam DCTU dan merasai simulasi ketika kapal beroleng dan juga ketika kapal dimasuki air. Penerangan ringkas telah diberikan oleh Lt Mohd Syafiq dan chief Nawawi sebelum kami melawat ke bilik latihan mengawal kerosakan kapal. 

Kemudian, penerangan dan pengenalan kepada teori-teori tentang teknik-teknik melawan api, penggunaan Alat Pemadam Api Kecil (APAK), dan juga organisasi dalam kumpulan melawan api diterangkan oleh Lt Mohd Shafiq . Setiap tugas-tugas diterangkan secara teliti seperti tugas-tugas BACO, OOD, Attack Party, Support Party dan lain-lain bagi memastikan semua pelatih faham akan turutan atau cara-cara yang betul dalam usaha melawan kebakaran di kapal. Selepas itu, setelah semua persiapan telah dilakukan oleh jurulatih, penerangan secara ringkas tentang cara pemakaian alat pernafasan atau Breathing Apparatus (BA) telah diadakan. 






Pelbagai pengalaman dapat di timba daripada latihan ini, selain daripada dapat menambah ilmu, ia juga amat berguna pada para peserta samada di dalam latihan ataupun di luar sana. Diharapkan latihan di TANGKAS akan dianjurkan lagi pada masa-masa akan datang bagi mempermantapkan lagi pengetahuan yang telah sedia ada. 


Pada sebelah petang, tepat jam 1500H semua anggota PDL serta jurulatih dan pegawai berkumpul di hadapan Wisma Suria sebelum bergerak ke Hutan Simpan Lumut atau simpanan hutan dara. Aktiviti pada petang tersebut adalah mendaki Bukit Engku Busu yang berdekatan dengan pangkalan TLDM Lumut.




Aktiviti mendaki bukit sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal anggota PDL untuk sampai ke puncak. Sebagai ganjaran, pemandangan dari atas bukit hutan simpan tersebut sangat cantik dan memuaskan hati mereka yang berjaya sampai ke puncak. Meskipun ketinggian bukit tersebut setinggi 1087 kaki, namun semua anggota PDL berjaya naik dan turun dengan selamat. 



10 Nov 13, Hari keempat:
Hari terakhir berada di pangkalan TLDM Lumut, anggota PDL telah membuat lawatan ke KD Hang Tuah. Sedikit demi sedikit ilmu kelautan telah diperoleh. Lt Hafiz yang bertugas pada hari tersebut mengetuai lawatan anggota PDL. Menurut beliau, KD Hang Tuah dahulunya merupakan kapal perang tetapi sekarang digunakan sebagai platform untuk latihan pegawai. Anggota PDL dibawa melawat ke setiap bahagian kapal sambil menerangkan fungsi dan kegunaan setiap item yang ada di atas kapal tersebut. Organisasi KD Hang Tuah juga telah diperkenalkan oleh beliau.








Perjalanan pulang ke universiti bermula kira-kira pukul 1400H setelah makan tengahari di Wisma Suria. Lawatan selama empat hari di pangkalan TLDM Lumut telah memberikan banyak ilmu dan pendedahan yang luas kepada anggota PDL yang terlibat. 

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: " Melihat pada 3 perkara adalah ibadah. melihat wajah ibu bapa, melihat Al-Quran dan melihat lautan. dan ditambah dengan "melihat Kaabah". 

Tuesday, 5 November 2013

LATIHAN RENANG AMBILAN 13 SIRI 1


26 Oktober 2013 - Kolam Renang Universiti Malaya
Satu sesi latihan renang telah dijalankan dengan dikendalikan oleh LK JJM Mohd Shukri Bin Ahmad. Tujuan latihan renang siri 1 ini diadakan untuk melatih dan memberikan tunjuk ajar kepada pegawai kadet ambilan 13 kemahiran berenang yang betul. 


Seperti kebiasaannya, sebelum memulakan latihan, anggota Palapes LAUT akan memanaskan badan terlebih dahulu bagi mengelakkan kekejangan dan kecederaan semasa latihan. Seterusnya, jurulatih mengambil alih untuk meneruskan sesi latihan renang yang dimulakan dengan asas renang seperti pernafasan dan sebagainya,





Pegawai Kadet PALAPES Laut yang hadir telah mempelajari pelbagai teknik antaranya breaststrock.




Latihan renang ini juga akan dijalankan secara berterusan dari masa ke masa sebagai persediaan kepada anggota Palapes LAUT UM untuk melalui ujian renang dengan baik. 
~sedia berkorban